Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang berbunyi:
يأيها الناس كلوا مما في الأرض حللا طيبا ولا تتبعوا خطوات الشيطن انه لكم عدو مبين
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi”.
Makanan dan minuman adalah satu perkara asasi yang diperlukan oleh setiap makhluk yang hidup tidak kira manusia, haiwan mahupun tumbuhan. Ia juga merupakan satu keperluan yang tidak dapat diabaikan kerana kesihatan tubuh badan manusia bergantung sepenuhnya kepada makanan dan minuman. Namun, Islam telah mengajar kita amalan pemakanan yang seimbang dapat usaha mencari keredhaan Allah.
PERTAMA: Menggalakkan Makan Secara Sederhana
Amalan makan secara sederhana telah lama dipraktikkan oleh Nabi Muhammad sejak dahulu lagi sepertimana hadis Baginda ada menyebut 'makan bilamana lapar dan berhenti makan bilamana kenyang' . Baginda sendiri lebih suka berlapar daripada kekenyangan sepanjang hari. Bagi Baginda, LAPAR menjadikan kita berSABAR sementara kita makan menjadikan kita berSYUKUR di atas rezeki yang kita menanti waktu untuk dijamahnya.
KEDUA: Sopan Semasa Makan
Kesopanan ketika menjamah makanan dapat membezakan kita dengan haiwan, antara manusia yang berakal dengan haiwan yang tidak berakal. Manusia makan untuk hidup dan bukanlah hidup untuk makan. Rungkaian kata-kata yang sering kita dengar menggambarkan kepada kita makan merupakan satu keperluan bukan tujuan hidup semata-mata.
Perasaan makan dan minum adalah naluri semula jadi manusia yang membolehkan manusia hidup. Makanan yang dimakan akan menjadi darah daging manusia itu sendiri kerana ia membaiki dan menggantikan tisu- tisu dan sel- sel tubuh badan yang telah rosak. Melalui kaca mata Islam, tujuan pemakanan adalah untuk manusia mudah beribadat dan menjalankan aktiviti- aktiviti yang diredhai Allah. Sebagai manusia yang berakal dan beriman, kita dilarang memakan benda- benda yang diharamkan oleh Allah kerana makanan yang baik bukan sahaja untuk jasmani yang kuat malah untuk rohani yang mantap agar kita dapat mengekalkan identiti yang bercirikan Islam.