21 October 2009
SALAM IMTIHAN
Hasratku Tercapai
10 October 2009
Wanita Dan Iktibar Daripada Pokok Semalu
Saya amat tertarik dengan salah satu artikel yang pernah saya baca suatu ketika dahulu, di mana Nabi Muhammad s.a.w memberitahu kepada puteri kesayangan Baginda iaitu Sayidatina Fatimah r.ha tentang sifat fizikal pokok semalu amat berkait rapat dengan wanita.Terdapat empat aspek pengajaran yang boleh diambil iktibar daripada kejadian pokok tersebut antaranya:
- Pertama, sifat pokok semalu yang menguncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu yang bertempat.
- Kedua, kita sedia maklum semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Simboliknya wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruahnya.
- Ketiga, akar tunjang pokok semalu kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keimanan yang berakar umbi dalam jiwanya.
- Keempat, semalu dengan sendirinya menguncup apabila waktu senja. Seolah- olah ciptaan Allah swt ini memperingatkan kepada kaum wanita supaya pulang dan duduklah di rumah ketika hari hampir gelap.
MALU adalah sebahagian daripada IMAN. Malu bermaksud sifat atau satu rasa yang akan menggerakkan hati seseorang itu supaya meninggalkan kejahatan.Sifat malu ini juga boleh diistilahkan berasa aib kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan dalam ketaatan kepada Allah. Namun apa yang menyedihkan, kita dapati wanita terutamanya golongan remaja sudah semakin hilang rasa MALU. Bahkan terjebak dalam gejala sosial, tidak memelihara pergaulan antara lelaki dan perempuan serta tidak mengenal mana yang haram dan halal disentuh. Oleh itu ibubapalah harus mendidik anak-anak mereka sejak daripada kecil lagi supaya anak-anak mereka terdidik dengan sifat malu. Justeru itu, kekalkanlah sifat malu dalam keadaan yang bertempat dan bukan malu tidak bertempat. Renungan bersama...
Penjagaan Warga Emas
Ibn Kathir di dalam Mukhtasir Tafsir Ibn Kathir menjelaskan terdapat tiga cara penjagaan Warga Emas secara umumnya yang boleh diikuti bersama:
- PERTUTURAN (KOMUNIKASI)
Allah swt telah memerintahkan kepada kita selaku seorang anak agar tidak mengeluarkan kata-kata kasar atau kurang sopan walaupun sepatah perkataan seperti 'ah' atau 'uh' ,apatah lagi mengherdik atau membentak ibubapa atau salah seorang daripada mereka. Sebaliknya Islam mengajar kita supaya melunakkan suara dengan lemah -lembut ketika berbicara di hadapan mereka sebagai tanda hormat kita kepada mereka.
- CARA BERINTERAKSI (PERGAULAN)
Menjadi kewajipan ke atas seseorang anak merendahkan diri ketika berhadapan dengan kedua ibubapa dengan perasan penuh kasih sayang. Diumpamakan seperti kasih dan sayangnya mereka dahulu memelihara kita sewaktu kita tidak mengenali dunia yang fana ini.
- SIKAP (PENERIMAAN)
Secara konklusinya, penjagaan Warga Emas ini dari sudut psikologinya mempengaruhi emosi dan konflik sosial mereka dalam menempuh satu alam yang dipanggil peringkat usia lanjut. Semoga kita menjadi anak-anak soleh dan solehah dalam menjaga ibubapa kita selagi hayat mereka ada. Justeru itu, jika tiada ibubapa kita di dunia ini, mana mungkin adanya kita sebagai seorang anak, pelajar, pendidik, pegawai, jurutera, angkasawan dan sebagainya yang telah mendidik dan memelihara kita. Ibubapalah permulaannya dan kita sebagai penyambung kesudahan hayatnya. Fikir-fikirkanlah.
09 October 2009
Bahana Seni Hiburan Mendominasi Bangsa
Berhibur memang tidak salah,asalkan bersesuaian pada tempat dan caranya.Wujudkan mesej dakwah dalam hiburan yang membawa ke arah pembentukkan jati diri manusia di samping menjaga batas-batas agama.Namun,dewasa kini dunia hiburan menjadi bahana kepada masyarakat terutama golongan remaja. Wujud pula pelbagai masalah seperti gejala sosial,melepak dan hedonisme yang menggerunkan kita. Sedangkan Islam mengajar kita memperbanyakkan zikir,tahmid dan sebagainya yang menjadi hiburan kepada kita untuk mengingati Allah dan Rasulnya.
Kesimpulannya, penulis ingin membawa persoalan adakah matlamat program-program hiburan ini seiring dengan matlamat pembinaan bangsa yang kita mahukan?????Adakah program-program seperti mentor,juara lagu, akademi fantasi, audition, one in the millions dan malaysian idol dapat mendekatkan masyarakat terhadap semangat kecintaan kepada bangsa,negara, agama khususnya??? Tepuk dada tanyalah IMAN..
Etika Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Islam
Pengurusan kewangan ialah satu proses menggunakan cara-cara tertentu bagi memperolehi dan memperuntukan sumber-sumber kewangan berdasarkan kepada keutamaan-keutamaan dan mematuhi prosedur-prosedur dan kawalan-kawalan tertentu untuk mencapai matlamat organisasi secara cekap dan berkesan termasuk dalam proses perakaunan, laporan dan pengauditan.
- Legaliti : ia bermaksud pengurusan kewangan harus mematuhi semua undang- undang, peraturan dan prosedur- prosedur yang telah ditetapkan seperti penerimaan, simpanan, pengeluaran, bayaran wang dan perakaunan.
- Akauntabiliti : ia bermaksud memikul amanah untuk menjalankan aktiviti yang ditentukan secara bertanggungjawab ke atas segala kejayaan mahupun kegagalan di sesebuah organisasi. Pada kebiasaannya Penyata Kewangan akan diaudit oleh dua orang juruaudit yang telah dilantik bagi tujuan keselamatan dan mengelak penipuan.
- Integriti : nilai ini sering dikaitkan dengan nilai- nilai amanah, jujur, kebolehpercayaan dan sentiasa memelihara kepentingan ahli- ahli dalam organisasi. Selain itu, mempunyai ketulusan hati dan tahu menggunakan kuasa dengan adil dan saksama.
- Profesional : ia bermaksud setiap anggota harus mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan kemahiran yang mencukupi bagi menjalankan tugas dengan sempurna
Secara kesimpulannya, etika pengurusan kewangan haruslah dipraktikan dalam diri setiap individu sebagai satu amanah di dalam bekerja. Kesan yang amat besar akan wujud serta tidak berlakunya penyelewengan (penipuan) yang merupakan salah satu daripada sifat yang tercela. Islam mengutuk perbuatan menyeleweng yang berlaku khasnya dalam bidang mu’amalat. Apabila salah satu pihak menyeleweng, maka akan menyebabkan kerugian besar di dalam satu organisasi. Sebagai seorang yang bergelar muslim, kita haruslah memiliki etika-etika seperti ini bukan sahaja dalam urusan kewangan malah lebih daripada itu.
03 October 2009
Membentuk Sikap Positif Anak-Anak
Siapa yang tidak kenal seorang Pakar Motivasi yang ternama di Malaysia ini Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah yang banyak menulis buku-buku Motivasi selain secara langsung terlibat dalam penyiaran TV,astro OASIS dan lain-lain lagi. Saya tertarik dengan satu cetusan idea beliau dalam salah satu artikel majalah SOLUSI berkaitan dengan didikan anak-anak.
Beliau berpendapat memberi tugasan dan tanggungjawab yang mudah kepada anak-anak yang bersesuaian dengan usia mereka seperti menyiram pokok setiap petang, mengangkat kain, memberi makan kepada haiwan peliharaan (kucing) mampu membentuk sikap positif atau tanggungjawab kepada anak-anak sewaktu mereka kecil lagi.
Ramai ibubapa yang tidak sedar bahawa mereka boleh membentuk sikap positif anak-anak bermula di rumah lagi. Tetapi mungkin sesetengah ibubapa terlepas pandang terhadap satu keberkesanan yang begitu mudah ini. Jika diimbas kembali perjalanan kehidupan kita sewaktu kita kecil dahulu,ibubapa kita mendidik kita seperti membasuh kasut sekolah, mengangkat pakaian di jemuran,membantu mengemas rumah,menjaga adik ketika bermain di luar rumah dan sebagainya. Secara tidak langsung dan tidak sedar kita sudah besar dan pandai mengurus diri hasil daripada didikan ibubapa kita dahulu.
Antara Faedah Melatih Anak Membela Haiwan dan Menanam Pokok:
- Melatih anak-anak menjadi insan bertanggungjawab
- Melatih anak-anak menyayangi makhluk Allah yang lain
- Mengisi masa lapang anak-anak dengan perkara berfaedah
- Mengajar anak-anak bahawa buat baik dibalas baik
- Mewujudkan suasana harmoni dan bekerjasama
- Mendidik anak-anak rasa bersyukur dan memanfaatkan apa yang dikurniakan oleh Allah.
Secara kesimpulannya, anak-anak adalah PERMATA , maka ibubapalah yang harus menggilapkannya agar tampak bersinar di masa dewasa mereka kelak. Didik mereka secara berhikmah, jangan terlalu memberi kebebasan dan jangan terlalu mengongkong malah bersederhanalah dalam kebijaksaan mendidik anak-anak.