09 October 2009

Etika Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Islam

Pengurusan kewangan ialah satu proses menggunakan cara-cara tertentu bagi memperolehi dan memperuntukan sumber-sumber kewangan berdasarkan kepada keutamaan-keutamaan dan mematuhi prosedur-prosedur dan kawalan-kawalan tertentu untuk mencapai matlamat organisasi secara cekap dan berkesan termasuk dalam proses perakaunan, laporan dan pengauditan.



Firman Allah di dlm surah as-Syu'araa ayat 181-184 yang bermaksud:
"Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain.Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya.Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.Dan (sebaliknya) berbaktilah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang telah lalu."

Dalam menguruskan sesuatu kerja, Islam telah menggariskan beberapa panduan yang baik untuk diteladani di setiap aspek kerja agar kerja kita mendapat berkat dan keredhaan Allah. Di antara etika- etika kerja yang perlu ada dalam pengurusan kewangan adalah:

  • Legaliti : ia bermaksud pengurusan kewangan harus mematuhi semua undang- undang, peraturan dan prosedur- prosedur yang telah ditetapkan seperti penerimaan, simpanan, pengeluaran, bayaran wang dan perakaunan.
  • Akauntabiliti : ia bermaksud memikul amanah untuk menjalankan aktiviti yang ditentukan secara bertanggungjawab ke atas segala kejayaan mahupun kegagalan di sesebuah organisasi. Pada kebiasaannya Penyata Kewangan akan diaudit oleh dua orang juruaudit yang telah dilantik bagi tujuan keselamatan dan mengelak penipuan.

  • Integriti : nilai ini sering dikaitkan dengan nilai- nilai amanah, jujur, kebolehpercayaan dan sentiasa memelihara kepentingan ahli- ahli dalam organisasi. Selain itu, mempunyai ketulusan hati dan tahu menggunakan kuasa dengan adil dan saksama.
  • Profesional : ia bermaksud setiap anggota harus mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan kemahiran yang mencukupi bagi menjalankan tugas dengan sempurna

Secara kesimpulannya, etika pengurusan kewangan haruslah dipraktikan dalam diri setiap individu sebagai satu amanah di dalam bekerja. Kesan yang amat besar akan wujud serta tidak berlakunya penyelewengan (penipuan) yang merupakan salah satu daripada sifat yang tercela. Islam mengutuk perbuatan menyeleweng yang berlaku khasnya dalam bidang mu’amalat. Apabila salah satu pihak menyeleweng, maka akan menyebabkan kerugian besar di dalam satu organisasi. Sebagai seorang yang bergelar muslim, kita haruslah memiliki etika-etika seperti ini bukan sahaja dalam urusan kewangan malah lebih daripada itu.

0 comments:

LISTEN TO QURAN